UPSI di ranking 176-200 dunia




Kuala Lumpur: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mencipta kejayaaan apabila diumumkan berada pada kedudukan 176-200 dunia dalam bidang pendidikan. 

Pengumuman itu dibuat The Time Higher Education hari ini dan kejayaan itu membanggakan seluruh warga UPSI apabila memperolehi pengiktirafan berkenaan. 

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, beliau gembira dan bersyukur dengan kejayaan itu yang dianggapnya satu pengiktirafan kepada UPSI sebagai satu universiti berteraskan pendidikan yang sudah berusia 100 tahun. 

"Kejayaan ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia adalah hasil pengorbanan, usaha dan kerjasama dari seluruh warga UPSI melalui ukhuwah yang dijalinkan sesama mereka. 

"Dengan pengiktirafan itu, diharapkan UPSI akan terus cemerlang menyumbang dalam bidang pendidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua warga UPSI yang bekerja keras bersama-sama berusaha demi mengungguli satu-satunya universiti pendidikan tanah air di persada antarabangsa. 

"UPSI mula menggerakkan sambutan 100 tahun pada tahun ini dan acara kemuncaknya akan berlangsung pada 29 November 2022. 

"Bersama semangat menyambut ulang tahun ke-100 UPSI yang mengambil kira zaman Sultan Idris Training College (SITC), kita berharap akan lebih banyak lagi kejayaan di capai UPSI pada tahun ini dan tahun depan," katanya. 

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perancangan Korporat UPSI Prof Madya Dr Azmi Mohamed pula menganggap kejayaan UPSI menyerlahkan pencapaian dan peranan yang dimainkannya terutama dalam bidang pendidikan. 

"Inisiatif yang disumbangkan semua kakitangan dalam pelbagai sudut sangat penting sekali gus mendorong kepada kejayaan dan pencapaian yang selari dengan pelan strategik UPSI 2021-2025. 

"Pengiktirafan ini akan menjadi pemangkin semangat kepada warga UPSI yang bakal menyambut dan merayakan sambutan 100 tahun pada 20 November tahun depan" katanya. 

Baru-baru ini, UPSI disenaraikan antara universiti yang menduduki kedudukan 801-1000 (Top 3%) Times Higher Education (THE) World University Rankings 2022 iaitu antara lapan universiti teratas di Malaysia. 

Anda mungkin menyukai postingan ini:

Tidak ada komentar:

Posting Komentar