UPSI, 20 Januari – Seramai 20 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlepas ke Aceh untuk menunaikan aktiviti tanggungjawab sosial di Aceh selama lapan hari.
Sebelum berangkat, Dr Zahuri Khairani yang menjalankan tugas Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) menemui peserta di Bangunan Canselori memberi nasihat agar mereka dapat melaksanakan misi kemanusiaan itu dengan baik dan lancar serta menjaga nama baik universiti.
“Saya berbangga dengan misi demi kemanusiaan di Aceh, Indonesia ini dan berasa bangga dengan komitmen peserta yang sanggup meninggalkan kampung halaman ketika cuti semester demi keprihatinan terhadap penduduk Aceh yang menerima musibah gempa bumi baru-baru ini,” katanya.
Beliau berharap semangat kesukarelawanan yang dimiliki peserta akan memberi pengalaman baharu yang berharga sebelum bergraduat.
Sementara itu Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Madya Dr Mohd Abdullah Jusoh berkata peserta misi kemanusiaan itu adalah duta UPSI yang terpilih ke luar negara bukan sahaja untuk menimba pengalaman, malah satu proses pembelajaran secara tidak langsung.
“Tugasan ini dinilai oleh universiti dan masyarakat di Aceh dan inisiatif melaksanakan aktiviti kesukarelawanan ini adalah satu langkah ke arah melonjakkan nama UPSI dan Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata jika misi berkenaan berjaya ia adalah satu pencapaian cemerlang sekali gus mencapai hasrat menunaikan tanggungjawab kemanusiaan di luar negara.
Sepanjang aktiviti diketuai Siti Suhaila Ibrahim di Desa Muka Blang dan Pidie Jaya, Aceh itu peserta diiringi Pegawai Kaunseling, Najidah Yahaya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar